Kepada pencinta dan pengkaji sejarah, sambil anda berjalan-jalan menikmati keindahan Pantai Teluk Bidara dan Tanjung Jara ,Dungun yang cantik dan indah, jangan lupa berkunjung ke Makam Sultan Yahya Siak yang terletak di Kampung Che Lijah Dungun. Lokasinya berhampiran jalan besar Dungun-Bukit Besi dan mudah ditemui kerana pihak Muzium Negeri telah meletakkan papan tanda penunjuk arah ke makam tersebut.
“Baginda menaiki takhta kerajaan Siak selepas kemangkatan ayahandanya Sultan Ismail pada Tahun 1782. Semasa pemerintahan beliau telah berlaku perebutan kuasa dengan Raja Alam. Melalui muslihatnya Raja Alam telah berjaya merampas takhta dari Sultan Yahya.Baginda cuma sempat memerintah selama 2 tahun. Oleh itu Sultan Yahya telah berundur ke Kertih kemudian ke Tanjung Pati , Dungun Terengganu.Baginda telah mangkat di Dungun dan dimakamkan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Che Lijah , Dungun Terengganu pada tahun 1784.
Sejarah Riau sebelum kemerdekaan lebih diwarnai riwayat kerajaan Melayu Islam, dengan kerajaan terbesarnya adalah Kerajaan Siak Sri Indrapura. Kerajaan ini didirikan oleh Sultan Abdul Jalil Rahmad Syah pada tahun 1725. Sultan pertama ini meninggal pada tahun 1746 dan kemudian diberi gelaran Marhum Buantan. Setelah kemangkatan baginda, terdapat 11 orang sultan yang pernah bertakhta di Kerajaan Siak Sri Indrapura. Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah (1782-1784) adalah Sultan yang ke-6 menaiki takhta dalam turutan tampuk pemerintahan. Baginda hanya sempat memerintah selama 2 tahun sebelum berhijrah ke Tanah Melayu dan telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1784 dengan gelaran Marhum Mangkat di Dungun.
Binaan kompleks makam ini dihiasi dengan keindahan seni ukiran Melayu tradisi. Kepingan papan pator pada cucuran atap serta kerawang dengan aplikasi teknik ukiran tebuk tembus pada muka dinding di antara bumbung atas dengan bumbung bawah mengundang perhatian.
Kayu buton yang sering dilihat pada binaan masjid-masjid tua dan rumah tradisional Melayu turut dipasang pada tulang perabung kompleks makam.
Seni ukiran tebuk tembus dan ukiran pada kepala tiang di kedua bahagian sisi pagar kayu diilhamkan daripada unsur tumbuhan semulajadi.
Rekabentuk kepala tiang ini adalah hasil adaptasi daripada motif kelopak bunga seroja. Motif ini turut digunapakai dalam rekabentuk nesan lama. Ukiran yang dihasilkan melalui teknik luakan ini seolah-olah memperlihatkan bentuk bunga seroja yang sedang mekar kuntumannya.
Al-Fatihah buat Almarhum Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah.
Sumber : Muzium Daerah Dungun, Terengganu.