mcmc
Pelancongan & Tempat Bersejarah

Penginapan Ala Bali

Antara penginapan terbaik di Dungun

 

Mayangsari Resort ‘lahir’ khusus untuk anda yang inginkan privasi dalam percutian. Terletak di Jalan Pantai, Kampung Sura Tengah, Dungun kira-kira 90 kilometer dari bandar raya Kuala Terengganu, kemudahan penginapan di sini tidak mengecewakan. Sepanjang perjalanan menghampiri resort yang menyediakan penginapan berkonsep villa itu, mata pengunjung akan dijamu dengan pemandangan pantai Teluk Lipat.

Resort berkonsepkan ala Bali yang mengadap Laut China Selatan itu menyediakan kemudahan yang jarang disediakan di resort lain, tambahan pula harga yang ditawarkan amat berpatutan. Mayangsari Resort menawarkan pelbagai kategori penginapan termasuk Pool Villa, Garden Villa dan Water Villa yang mampu memenuhi keperluan setiap pengunjung.

Tarikan utama resort ini adalah penginapan Pool Villa yang menyediakan kelengkapan penuh dengan kemudahan kolam renang peribadi serta ruang gazebo yang romantik, sesuai bagi pasangan yang ingin berbulan madu. Malah suasana hiasan dalaman yang ditata rias seindah kamar pengantin ditambah cahaya suram hasil biasan aliran air dari kolam yang terletak di luar bilik menambah suasana yang mendamaikan.

Selain itu, Pool Villa bukan sahaja menitik beratkan ruang kamar, malah ruang membersihkan diri iaitu bilik air turut ditekankan apabila menggunakan konsep Melayu klasik di mana pintu bilik air turut diperbuat daripada kayu cengal berukir. Ia turut dilengkapi dengan selak pintu diperbuat daripada potongan kayu selain pokok bunga melor ditanam berdekatan bagi membangkitkan aroma wangi bunga yang semula jadi.

 

 

 

 

 

 

Mayangsari Resort Dungun

Lot 2151, Jalan Pantai, Kampung Sura Tengah,

23000 Dungun,

Terengganu, Malaysia

Phone: +60 6-761 7572